Tazkirah : "Kerana Mulut, Badan Binasa"

Kata pepatah Melayu, ´kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan merana (binasa)´. Ia merupakan peringatan bahawa mengucapkan perkataan yang tidak baik boleh mendatangkan bencana kepada diri sendiri mahupun terhadap orang lain.

Lidah adalah anugerah Allah kepada manusia untuk berkomunikasi tetapi ia sering disalahgunakan untuk mengeluarkan perkataan yang mendatangkan keburukan seperti menyebar fitnah, dusta dan bermaksud buruk yang membawa niat menjatuhkan maruah orang lain.

Allah berfirman yang bermaksud: “Bukankah Kami telah memberikan kepadanya dua biji mata, lidah dan dua bibir. Dan Kami menunjukkan kepadanya dua jalan (jalan kebajikan dan jalan kejahatan).” - Surah al-Balad: 8-10

Justeru, kita mestilah berhati-hati dalam percakapan sehari-harian. Jika dikhuatiri mengeluarkan perkataan tidak baik, lebih baik kita berdiam diri. Ini bagi mengelakkan diri daripada menanggung dosa dan bagi mengelakkan orang lain terasa hati. Jika kita sudah mengeluarkan kata-kata yang tidak disenangi orang lain, tentu sukar untuk kita menariknya balik.

Lebih buruk lagi jika orang lain silap mendengarnya. Ini berkait rapat dengan kata-kata ´terlajak perahu boleh berundur, terlajak kata buruk padahnya´.Satu kesalahan yang paling rapat dengan lidah ialah penyebaran fitnah dan mengadu domba. Fitnah mendatangkan kesan bahaya dalam masyarakat kerana ia boleh menyebabkan perpecahan dan huru-hara.

Allah mengingatkan manusia mengenai buruknya fitnah. Firman-Nya dalam surah al-Baqarah ayat 191 bermaksud: “Dan fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan.” Banyak orang tidak sedar mereka melakukan fitnah kerana amalan itu sudah sebati dalam masyarakat. Ada yang menganggap melalui fitnah barulah mereka boleh berjaya dalam kehidupan di dunia sedangkan di akhirat akan berlaku sebaliknya.

Fitnah boleh berlaku disebabkan pertandingan mendapatkan kuasa, pangkat, menjatuhkan orang lain dan kekayaan. Apa yang disebarkan untuk memburuk-burukkan individu atau kumpulan kerana perbuatan itu dapat menonjolkan dirinya sebagai lebih baik dan layak dibandingkan dengan orang lain. Ia juga menyebabkan nilai agama musnah daripada menjadi pegangan hidup dalam masyarakat. Apabila nilai agama yang menjadi tunjang kesempurnaan hidup hilang, maka banyak dosa dilakukan.

Dipetik dari www.halaqah.net/v10




0 comments: